PBS laksana penstrukturan semula jawatan utama dalam parti

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS)
telah melakukan penstrukturan semula jawatan utama sebagai langkah untuk memberi nafas baru dalam kepemimpinan parti.

Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili
mengumumkan penstrukturan semula barisan pimpinan baharu parti terbabit menyaksikan Datuk Jahid Jahim dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden PBS di bawah Kuota Bumiputera Muslim.

“Dengan pelantikan Jahid sebagai pemimpin kedua PBS, ini bukan sahaja akan memperkukuhkan sokongan kaum Muslim kepada parti, tetapi juga memastikan sokongan sedia ada dari kaum bumiputera Muslim terhadap PBS akan terus meningkat.

“Ini juga membuktikan bahawa kita di PBS telah mendengar permintaan dari penyokong semua kaum untuk meremajakan barisan kepemimpinan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Sementara itu, Maximus turut mengumumkan bekas Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai dilantik sebagai Setiausaha Agung bagi menggantikan jawatan Jahid manakala bekas Penolong Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki kini memegang jawatan Ketua Penerangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding dan ADUN Telupid, Jonnybone Kurum masing-masing dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung dan Penolong Ketua Penerangan.

“Ahli Majlis Tertinggi Mursid Mohd Rais dilantik sebagai Naib Presiden, sementara Dr Samuil Mopun dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi,” katanya.

Maximus turut berkata sebagai parti politik berbilang kaum, antara teras dan perjuangan utama PBS adalah untuk menegakkan hak-hak Sabah dan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memerangi kehadiran pendatang tanpa izin secara berterusan dan sokongan terhadap cadangan pelaksanaan undang-undang berkaitan lompat parti.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.