‘Parti dari Borneo mahu bersama PN pada PRU15’-Muhyiddin
TANAH MERAH : Beberapa parti politik dari Sabah dan Sarawak menyatakan kesediaan untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sedang meneliti perkara tersebut sama ada parti-parti yang menyatakan minat itu dapat menerima prinsip yang diperjuangkan oleh gabungan berkenaan.
Menurutnya, PN konsisten dengan prinsip menentang rasuah, salah guna kuasa, membentuk kerajaan yang berintegriti dan prihatin terhadap masalah rakyat.
“Penelitian ini (berkait dengan gabungan parti dalam PN) kita buat dari semasa ke semasa supaya mereka (parti) yang mahu bersama PN konsisten dengan wadah kita,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PN Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Tambahnya, sekiranya wadah PN diterima, kerjasama antara parti akan menjadi lebih mudah.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerjasama antara Bersatu dengan Pas menerusi PN di Kelantan sudah teguh menerusi perlantikan wakil di setiap kawasan parlimen.
Katanya, dari segi soal pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu masih belum diputuskan. –UTUSAN ONLINE