‘Mulai sekarang ini kita panggil GRS-BN’ – Hajiji

TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan kerajaan yang dipimpinnya kini dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).

Beliau yang bersetuju dengan cadangan Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulangi pendirian bahawa GRS yang ditubuhkan memang hasil daripada kerjasama dengan BN.

“Ya, memang pun itulah namanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah atau GRS ini termasuklah BN walaupun BN dia dalam satu gabungan yang lain, tidak dalam GRS tetapi kerajaan yang ada hari ini ialah kerajaan GRS dan juga BN.

“Ini sudah dipersetujui sebelum pilihan raya pun kita ada kerjasama dengan BN dan apabila kita menang dalam keputusan pilihan raya kita pun bersama-sama membentuk kerajaan negeri dengan BN.

“Jadi cadangan itu memang bagus, tetapi kadang-kadang kita panggil GRS, jadi mulai sekarang ini kita panggil GRS-BN,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Tamparuli di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah bahawa kerajaan yang ada kini perlu dinamakan sebagai GRS-BN. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *