Muhyiddin Kini Bergelar Perdana Menteri Caretaker
KUALA LUMPUR : Presiden Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020. Hari ini, 16 Ogos 2021, Muhyiddin telah meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri demi menghormati keputusan Parlimen Malaysia.
Muhyiddin menghadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 12.30 tengahari dan menyerahkan warkah peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin dan seluruh jemaah menteri wajar meletak jawatan setelah kehilangan percaya majoriti di Parlimen oleh Ahli Dewan Rakyat.
Muhyiddin kehilangan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik undi percaya terhadapnya. Tambahan pula, cadangan kerjasama rentas parti juga telah ditolak oleh pihak pembangkang.
Dengan rasa hormat akan keputusan Parlimen, Muhyiddin percaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri tidak lagi perlu ditentukan oleh Parlimen.
“Maka, hari ini, saya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri sebagaimana perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan,” umumnya.
Justeru, sejurus peletakan jawatan, Muhyiddin kini bergelar Perdana Menteri Caretaker sehingga pelantikan Perdana Menteri baharu diadakan.
Muhyiddin turut bertegas bahawa Muhyiddin tidak akan mengganggu urusan kehakiman dan percaya akan integriti badan itu dalam menguruskan urusan pentadbiran negara.