MAFI pastikan peruntukan dana digunakan sebaiknya rancakkan pertanian di Sabah

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan peruntukan dana kementerian itu diguna sebaiknya termasuk bagi
merancakkan pertanian secara keseluruhannya di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Sabah merupakan pengeluar makanan yang ketara dan di hadapan di negara ini.

“Pembangunan infrastruktur dalam pertanian akan dapat memperlihatkan kerancakan industri ini di negeri ini dalam tahun-tahun ke hadapan,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Krismas anjuran Majlis Gereja-Gereja Daerah Telupid di Kampung Bauto, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri dan ADUN Telupid, Johnnybone J Kurum.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata ini sejajar dengan komitmen kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk meneruskan pembangunan untuk rakyat Sabah.

Katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang seiring akan meletakkan Sabah ditahap pembangunan yang diinginkan oleh rakyat Sabah.

Pada masa sama, beliau berkata perubahan politik yang kini kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus dilihat positif.

“Ia berlaku menerusi proses demokrasi dan menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memastikan kepercayaan diberikan oleh rakyat di negeri ini diutamakan khususnya dalam aspek pembangunan,” katanya.

Ronald juga berkata beliau mahu melihat proses pembangunan di Sabah dapat direalisasikan dengan kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *