Konsensus tempatan tentukan pimpinan GRS
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengulangi penjelasannya mengenai kehadiran komponen politik nasional dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip gabungan itu.
Beliau berkata, meskipun ada parti nasional dalam gabungan baharu yang menumpukan agenda tempatan Sabah itu, barisan kepemimpinan GRS tetap ditentukan menerusi konsensus tempatan.
“Sebagai formula tempatan, ingin saya ulangi komitmen bahawa kehadiran komponen politik nasional dalam GRS, termasuk kehadiran saya sendiri selaku Pengerusi GRS, adalah tertakluk kepada agenda, teras dan prinsip GRS.
“Komitmen kepada formula tempatan ini juga dipelihara dengan peruntukan undang-undang tubuh parti yang menetapkan bahawa teraju kepemimpinan GRS adalah ditentukan melalui konsensus lokal iaitu kesepakatan parti komponen GRS.
“Kita di Sabah akan menentukan sendiri barisan kepemimpinan GRS bersandarkan kepada perlembagaan parti. Setiap ahli GRS perlu berpegang teguh kepada agenda, teras, prinsip dan perlembagaan GRS serta menjunjung keluhuran Perlembagaan Negeri dan Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-36 dan Ke-37, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Presiden PBS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
GRS yang didaftarkan sebagai entiti politik rasmi pada Mac sebelum dilancarkan Hajiji pada Mei lalu kini dianggotai lima parti termasuk BERSATU yang menjadi satu-satunya parti nasional dalam gabungan itu.
Empat lagi ialah PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain tidak menyertai gabungan itu tetapi kekal bekerjasama membentuk kerajaan negeri menerusi kerjasama GRS-BN.
Sebelum ini, timbul tuduhan kononnya GRS yang dicanang sebagai gabungan tempatan masih dikuasai parti nasional berikutan kehadiran BERSATU sebagai antara pengasasnya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, GRS adalah jajaran politik yang menjadi formula tempatan dalam mewujudkan permuafakatan rakyat bagi mendepani landskap baharu politik negara.
“Sebagaimana GRS terbina atas mandat rakyat, penubuhan GRS sebagai entiti politik rasmi pada 11 Mac 2022 adalah manifestasi aspirasi rakyat.
“Akar umbi mahukan kita bersatu dalam sebuah wadah tempatan untuk memperkukuhkan perjuangan membela hak dan kepentingan anak watan di persada politik lokal dan nasional,” katanya.
Hajiji berkata, GRS akan meneruskan komitmen melaksanakan Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Aku Janji GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, September 2020 yang menetapkan empat teras iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah ke Hadapan, Sabah Prosper memaknai Sabah Maju Jaya; dan Sabah yang Bersatu.
Agenda berkenaan diumumkan beliau ketika melancarkan GRS pada Mei lalu. -BH