Ketua Wira Sepanggar keluar WARISAN

KOTA KINABALU: Ketua Wira WARISAN Sepanggar, Jumardie Lukman bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) serta Ketua Cawangan mengumumkan meletak jawatan sekali gus keluar daripada Parti WARISAN secara serta-merta berkuatkuasa kelmarin.

Jumardie berkata, tindakan ini atas keputusan sendiri serta memberi sokongan padu kepada penubuhan parti baharu berbilang kaum bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.

“Kami juga menunjukkan sokongan kepada parti baharu mesra kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor demi pembangunan di negeri ini.

“Lihat hari ini beberapa orang berpengaruh di kawasan Parlimen Sepanggar serta seluruh kampung juga mengumumkan untuk meletakkan jawatan serta keluar daripada Parti WARISAN serta-merta hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dalam Facebook rasminya hari ini.

Jumardie berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti serta jseluruh ahli Parti WARISAN ketika berada di landasan di dalam parti berkenaan.

“Saya memohon maaf seandainya ada salah silap dari segu perbuatan atau perkataan sengaja atau tidak sengaja dan sesungguhnya saya sudah memaafkan semua,” katanya.

Beliau berkata, politik ini hanyalah fahaman ideologi dan jika sudah tidak wujud persefahaman dengan perjalanannya keluar daripada parti adalah jawapan yang terbaik.

“Sekiranya sudah tidak sehaluan dan berbeza hala-tujunya maka kita berhak untuk menarik diri secara peribadi daripada wadah ini, dan ianya sudah pasti bersifat peribadi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *