Kerajaan GRS hargai peranan wanita

KOTA KINABALU: Ketua Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana menghargai dan memandang tinggi peranan serta sumbangan wanita dalam pentadbiran termasuk di peringkat Majlis Daerah.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan GRS yang melihat peranan wanita dan memberi ruang kepada 30 peratus wanita sebagai ahli Majlis Daerah.

“Inilah bukti bahawa kerajaan GRS menghargai wanita dan melihat sumbangan serta menerima buah fikiran daripada kaum wanita,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Beaufort itu juga turut menggesa agar kepimpinan Kerajaan Negeri terus memberi ruang kepada wanita untuk menyumbang peranan dalam urusan pembuatan dasar termasuk menempatkan wanita dalam agensi-agensi kerajaan.

“Seperti yang disasarkan dan diperjuangkan sebelum ini, bahawa kita mahu kepimpinan kerajaan kini meningkatkan jumlah penglibatan kaum wanita dalam kumpulan pembuat dasar kepada 30 peratus.

“Dapat dilihat kini misalnya di dua majlis daerah, iaitu di Putatan dan Beaufort yang telah mencapai 30 peratus sasaran penglibatan kaum wanita.

“Saya juga mengharapkan ada pertambahan lagi mana-mana agensi kerajaan supaya sasaran 30 peratus tercapai,” katanya.

Azizah berkata pembabitan lebih ramai wanita dalam Majlis Daerah nyata dapat memberi peluang kepada golongan itu untuk berada di barisan kepimpinan dan menyumbang idea bernas demi pembangunan dan kemajuan.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan kita, Datuk Seri Masidi Manjun kerana telah menetapkan satu garis panduan dalam melantik ahli-ahli majlis daerah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melibatkan 30 peratus kaum wanita.

“Inilah juga bukti bahawa kerajaan negeri masa kini amat memandang tinggi dan mengiktiraf peranan serta sumbangan golongan wanita,” katanya.

Azizah juga menyeru agar semua kaum wanita terus meningkatkan keupayaan diri dari segi intelektual dan fizikal bagi terus kekal cemerlang dan mampu menyumbang kepada negeri.

“Usaha kita untuk memastikan penglibatan dan penyertaan wanita dalam jabatan, organisasi atau ahli majlis daerah masing-masing, wajar seiring dengan keupayaan kita.

“Untuk itu, saya ingin mengajak semua wanita untuk terus berfikiran positif, menjaga kesihatan diri, meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan sentiasa peka dengan perkembangan semasa,” jelasnya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *