Kerajaan GRS-BN berjaya laksana mandat rakyat dengan pelbagai pencapaian

KOTA KINABALU : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) telah berjaya melaksanakan mandat rakyat dengan pelbagai pencapaian yang telah dilakar bersama sepanjang tempoh 20 bulan mentadbir Kerajaan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah telah berjaya meningkatkan hasil negeri melalui fokus dan ketegasan Kerajaan Negeri dalam memastikan semua pihak berkaitan menunaikan komitmen dan mengelakkan ketirisan.

“Selain itu, Kerajaan GRS-BN juga telah merintis pencapaian awal dengan peningkatan kuasa, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri minyak dan gas kita melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS.

“Selain itu, PETRONAS juga telah mula menunaikan komitmen penuh pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bermula tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Kerajaan GRS-BN juga telah berjaya melaksanakan pendekatan mesra pelabur dan berjaya meningkatkan kadar kemasukan pelaburan asing dan domestik sekali gus membuka peluang pekerjaan.

Selain itu katanya, Kerajaan GRS-BN turut mengusahakan peningkatan 4.7 kali ganda kadar Pemberian Khas Persekutuan bermula tahun ini sebagai komitmen awal Kerajaan Persekutuan sehingga formula muktamad diputuskan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya,  jumlah kenaikan yang diperolehi itu akan terus dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan inisiatif baharu iaitu pembinaan 1,500 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita juga telah berjaya memperolehi kuasa pengeluaran permit dan lesen bagi kapal dan peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 di perairan Sabah.

“Selain itu, Kerajaan GRS-BN turut berjaya meningkatkan usaha pengurusan khazanah hutan dan kelestarian hijau selain memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu melibatkan pembangunan generasi muda seperti bantuan pendidikan, latihan kepimpinan dan banyak lagi,” katanya.

Hajiji berkata, `Results over Rhetoric` merupakan falsafah di sebalik Prinsip Politik Pembangunan yang di laksanakan dan GRS akan terus komited untuk melaksanakan aku janji dan membentangkan status pencapaian.

“Politik Pembangunan yang bernilai dan bermakna perlu digerakkan seiring dengan Prinsip Politik Akomodasi.

“Kita perlu sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan bertindak secara akomodatif demi membina solidariti dan kesatuan rakyat. Politik Akomodasi bermaksud keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua atas kepentingan dan matlamat yang sama.

“Prinsip ini mengajak kita mencari titik persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan yang memecahkan,” katanya.

Justeru, Hajiji turut menyeru kepada semua pemimpin awal dan segenerasi untuk bersama merintis dan membina landasan perpaduan untuk diwarisi oleh generasi pelapis dan sekalian anak watan.

Katanya, landasan itu adalah formula tempatan yang menyatukan semua melalui Gabungan Rakyat Sabah. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *