Kami pilih BERSATU kerana yakin dengan KM dan PM: Hermeny

Oleh: Zacherlyn E

KOTA KINABALU: Mantan Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N52 Sulabayan, Hermeny Murgal menyatakan keyakinan beliau terhadap pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dalam meneraju negeri Sabah dan Malaysia khasnya dalam mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan rakyat takkala dunia dilanda pandemik COVID19.

Katanya, kewibawaan pemimpin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jelas menunjukkan bahawa rakyat adalah menjadi aspek utama yang dititikberatkan dalam segala hal.

“Saya melihat kestabilan BERSATU di Sabah dan persepsi rakyat terhadap parti ini yang positif dan bersih, tanpa terpalit sebarang isu negatif yang jelek dimata rakyat,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Sabah Today semasa hadir di Pejabat BERSATU Negeri Sabah bagi menyerahkan 200 borang keahlian baharu disini hari ini.

Menurut Hermeny, beliau menyertai PKR pada tahun 2000.

“Untuk pengetahuan, saya menjadi calon bagi Sulabayan pada tahun 2013.

“Tetapi semakin lama, saya dan rakan-rakan ahli PKR yang lain mula hilang keyakinan dengan kepimpinan tertinggi dalam parti ini kerana kami tidak melihat denyut nadi perjuangan untuk memartabatkan rakyat dan keputusan kami hari ini adalah yang terbaik dan kami berharap kami mampu bersama BERSATU untuk terus bersama rakyat,” ujar beliau lagi.

Hermeny menyerahkan borang keahlian kepada Hajiji yang merupakan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Bendahari BERSATU Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian BERSATU Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan merangkap Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah Fairuz Renddan, dan Timbalan Pengarah Strategik dan Pilihan Raya BERSATU Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian Kota Belud Datuk Japlin Akim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.