Junz Wong yang mempolitikan usaha kerajaan itu hanyalah satu publisiti murahan
KOTA KINABALU: Bantuan one-off RM300 dan makanan yang diberikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah untuk mengurangkan beban rakyat.
Ketua Armada BERSATU Cawangan Putatan Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru Datuk Junz Wong yang mempolitikan usaha kerajaan itu hanya satu publisiti murahan.
“Adalah tidak matang untuk seseorang itu menuduh tanpa asas terhadap kerajaan bagi mengelirukan rakyat.
“Kerajaan GRS tidak ada masa untuk melayan isu remeh-temeh yang menuduh bantuan diberikan kerajaan tidak sampai pada sasarannya atau terdapatnya elemen perniagaan dalam pengagihan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Katanya, daripada cuba mendapatkan publisiti murahan untuk kepentingan politik sendiri, pembangkang harus memberikan kerjasama khususnya mengenal pasti mereka yang terjejas akibat waktu-waktu yang sukar ini.
Katanya, setakat 31 Mei 2021, sejumlah 326,461 bantuan bakul makanan telah diedarkan dibawah Program Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 melibatkan mereka yang menjalani kuarantin rumah, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kumpulan B-40 serta mereka yang dalam senarai e-Kasih.
“Menerusi senarai e-Kasih sahaja, sejumlah 76,628 bakul makanan telah diedarkan atau ianya mencapai 100 peratus pada hari ini.
“Seramai 323,966 yang layak sebagai penerima one-off COVID-19 2.0 RM300 juga telah menerima bantuan berkenaan yang mana sehingga April lalu berjumlah keseluruhan RM97,189,800,” katanya.
Isu perumahan di kos rendah di Tanjung Aru pula, Isquzawan berkata, penduduknya tidak dihalau tetapi diberikan notis untuk berpindah disebabkan struktur perumahan itu tidak lagi selamat dihuni.
Katanya, tujuh bulan tempoh diberikan kepada penduduk di perumahan itu untuk berpindah.