‘Jangan meludah ke langit’ – Armada Sabah

KOTA KINABALU: Tindakan sesetengah pemimpin UMNO menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan gagal mengendalikan situasi pandemik Covid-19 harus dihentikan segera.

Cukuplah bertindak seperti ‘meludah ke langit’ kerana pada akhirnya ia akan terkena muka sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, Fairuz Renddan berkata, UMNO adalah sebahagian daripadan kerajaan, jika kerajaan gagal bermakna semua gagal termasuk UMNO.

Hakikatnya jika dilihat sekarang, Khairy Jamaluddin selaku menteri yang mengendalikan vaksin juga dari UMNO, begitu juga Timbalan Ketua Menteri.

“Jadi jika pemimpin UMNO menyatakan PN gagal maknanya semua komponen dalam perikatan itu juga gagal.

“Tidak semua usaha yang dibuat oleh kerajaan itu menunjukkan kerjayaan secara serta-merta. Ia hanya akan berjaya sekiranya kita semua bekerjasama tanpa mengambil kira perbezaan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan ini berkata, persidangan Parlimen akan datang tidak seharusnya digunakan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ini keutamaan perlu diberikan untuk menyelesaikan masalah penularan wabak Covid-19 dan ketepikan dahulu agenda politik masing-masing demi kepentingan rakyat.

Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pemimpin UMNO akan menarik sokongan daripada PN hanya mewakili parti dan bukan suara ahli-ahli Parlimen.

“Undi tidak percaya hanya boleh dibuat sekiranya itu kemahuan semua ahli Parlimen. Jika dilihat bukan semua Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu terdiri daripada ahli Parlimen.

“Bagi menentukan kerajaan itu kukuh mahupun tumbang adalah bilangan ahli Parlimen dan bukannya MT, tidak kita sama ada MT UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Tetapi, sejak pengumuman Presiden UMNO itu sehingga sekarang, tiada ahli Parlimen yang menarik sokongan daripada kerajaan. Sekiranya benar mereka ingin menarik sokongan, mereka boleh menandatangani akuan sumpah (SD) untuk menarik sokongan daripada kerajaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya ingin menukar kerajaan mahupun mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU), tunggulah sehingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin agar keselamatan rakyat terjamin.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *