Hubungan dalam Kerajaan GRS-BN baik, usah curah minyak dalam api – Hajiji

KOTA KINABALU: “Bagus, kita GRS hubungan dengan Barisan Nasional bagus tiada masalah, kalau ada sedikit-sedikit perbezaan itu biasa dalam politik, so jangan bimbang, jangan lagi kita kasi itu minyak pegi api, nanti marak,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji mengulas ringkas mengenai hubungan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Barisan Nasional (BN) di Sabah, erti kata lain beliau tidak mahu keadaan akan bertambah keruh disebabkan perbezaan pendapat antara kedua belah pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Acara Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS 2022 ke-7, di Teluk Likas, pada Ahad (3 Julai).

Terdahulu, mengulas lanjut mengenai acara perlumbaan itu, Hajiji berkata, Sabah mengalu-alukan pesta atau acara-acara seumpama itu kerana negeri ini sangat unik dan mempunyai pelbagai suku kaum.

“Bukan sahaja orang nelayan yang duduk di tepi laut menyertai perlumbaan itu, tetapi ada juga persatuan-persatuan yang tidak pun menjadi nelayan tetapi mereka juga turut serta.

“Oleh itu, kita mesti bersatu hati dengan apa juga kita lakukan untuk negeri ini, kita kena bersatu hati…jangan gaduh-gaduh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM250 ribu kepada FCAS. Beliau juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang perlumbaan itu.

Lebih 140 pasukan menyertai perlumbaan itu termasuk dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, negara Filipina dan Brunei Darussalam.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasni, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Hendrus Anding, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang, Presiden FCAS, Tan Sri T.C.Goh dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *