Hajiji: Had tempoh jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal

TELUPID : Kerajaan negeri akan membawa cadangan bagi menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya telah meluluskan cadangan berkenaan.

โ€œSaya telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju. Jadi, sekiranya rakyat dan semua ADUN Kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda PerlembagaanNegeriโ€™.

โ€œIni kerana mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipindah melalui Persidangan DUN Sabah,โ€ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Beluran di Dataran Terbuka Telupid, di sini hari ini.

Hadir sama, presiden dan pemimpin parti-parti komponen GRS.

Antaranya ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus J Ongkili, Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran, ADUN Telupid, Jonnybone J Kurum dan ADUN Labuk, Samad Jamri.

Hajiji yang Pengerusi GRS berkata, cadangan Ini merupakan salah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

Program Jelajah GRS Parlimen Beluran merupakan siri jelajah keempat, selepas Keningau, Kudat dan Lahad Datu.

Hajiji berkata, GRS yang terdiri daripada parti berbilang kaum dan kepercayaan agama merupakan wadah dan platform menyatukan pemimpin dan rakyat Sabah yang bersama-sama memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Sabah.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin dari parti-parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah.

โ€œKita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)โ€, katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, matlamat GRS ialah menyatu padukan parti-parti tempatan di negeri ini dan memastikan Sabah maju dan diperintah oleh parti tempatan di masa akan datang.

โ€œKita perlu belajar dari pengalaman pada masa lampau. Dalam politik, bagaimana keadaan kita apabila kita berpecah. Kerana itu, sudah sampai masanya rakyat Sabah, parti-parti politik tempatan di Sabah mesti bergabung dalam satu gabungan yang kita panggil GRS.

โ€œTujuannya ialah untuk memastikan Sabah maju ke depan, Sabah Maju Jaya di masa akan datang. Ini amat penting kerana kalau kita masih bercakaran dan berpecah, tidak mungkin kita berjaya.

โ€œKalau kita tidak bersatu hati dalam satu gabungan, tidak mungkin kita berjaya dalam politik, apatah lagi untuk membangun negeri Sabah di masa akan datang,โ€ katanya.

Hajiji turut menyeru agar jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, jentera GRS mesti turun ke kampung-kampung memberi penerangan kepada rakyat tentang matlamat dan perjuangan GRS.

Beliau meminta rakyat Beluran memastikan calon yang dipilih mewakili GRS menang di kerusi parlimen Beluran pada PRU ke 15. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *