GRS tampil tepat pada masanya – Khairul Firdaus

KOTA KINABALU: Pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal berlangsung pada Sabtu (28 Mei) ini disifatkan sebagai satu tindakan serta usaha dilaksanakan tepat pada masanya dan bertepatan dengan keperluan dan kehendak rakyat Sabah.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata GRS adalah sebuah entiti wujud sesuai dengan norma negeri Sabah dan mampu memacu kejayaan kepada rakyat Sabah.

“Pelancaran GRS kini tepat pada masanya, kena pada waktu dan sesuai dengan keadaan semasa yang diperlukan oleh rakyat Sabah.

“GRS adalah sebuah kepimpinan bentuk masa depan yang wujud pada masa kini (the future and the present), yang meliputi  kepimpinan menyeluruh kawasan negeri Sabah, dari pantai barat dan pantai timur.

“GRS berdiri sebagai satu bentuk kepimpinan yang membawa suara dan perjuangan rakyat Sabah meliputi pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, GRS dilihat mampu meneruskan kelangsungan,  kestabilan dan kemakmuran negeri Sabah, sekali gus mampu menjana lebih banyak pembaharuan.

“GRS berdiri dari asas yang kukuh, apa yang saya maksudkan ialah kompenen-kompenen yang berada bersama dalam GRS, yang mana kerjasama dibentuk dan dipupuk untuk merealisasikan fokus utama kepada kestabilan dan kemakmuran negeri Sabah.

“Saya yakin, usaha dan kerjasama yang dibentuk, dari pelbagai latar belakang dan tunjang perjuangan ini, bakal membuahkan hasil yang berimpak besar khasnya kepada pembangunan negeri Sabah dan mencapai impian Sabah Maju Jaya,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus juga menyeru semua pihak untuk terus memainkan peranan dalam mengekalkan segala keharmonian dan kemakmuran sejagat di negeri Sabah.

“Kita hidup bersama, dalam kerukunan sebagai sebuah keluarga, yang bersama dalam pelbagai rutin, tanpa melihat perbezaan agama dan bangsa.

“Ayuh kita kekalkan keharmonian ini selamanya, kerana inilah keunikan kita, inilah identiti kita di Sabah, kita pelbagai namun kita tetap satu,” ujarnya. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *