GRS sah jadi entiti politik Sabah: Hajiji
KOTA KINABALU – [DIKEMASKINI] Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menjadi satu entiti politik yang sah dan rasmi di Sabah.
Hajiji berkata, ia susulan pendaftaran GRS telah diluluskan pada Jumaat lalu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Saya telah terima sijil kelulusan pendaftaran parti GRS iaitu pada Jumaat lalu dan pendaftaran ini dibuat sebagai menyahut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah dan rasmi sebagai badan gabungan parti-parti yang ada di Sabah.
“Hasrat kita ialah untuk melihat negeri Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan kita, tiadamasa lebih sesuai selain sekarang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim.
Ketika diminta mengulas lanjut, Hajiji yang juga Pengerusi GRS memaklumkan permohonan gabungan itu sudah dihantar kepada RoS beberapa minggu yang lalu.
“Jadi, kita amat berterima kasih kepada pihak RoS yang telah meluluskan pendaftaran GRS,” katanya.
Katanya, usaha mendaftarkan GRS itu adalah satu perkembangan yang bersejarah bagi politik Sabah. -Sinarharian