Gabungan Rakyat Sabah memeterai MoU kekalkan kerjasama terajui kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengekalkan kerjasama dalam menerajui kerajaan negeri, hari ini.

Antara parti yang menandatangani MoU terbabit adalah parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, Barisan Nasional (BN) yang terdiri dari UMNO Sabah, MCA dan MIC serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Pengerusi GRS berkata MoU terbabit bertujuan bagi memperkukuhkan ikatan politik menerusi amalan musyawarah dan perundingan berasaskan persefahaman di antara parti dalam GRS.

“Berpaksikan kepada mandat yang diberikan rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju untuk memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerjasama antara parti komponen GRS sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi tetapi dengan memorandum ini kerjasama ini dapat kita kukuhkan lagi bagi memenuhi mandat yang diberi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat GRS dan majlis menandatangani MoU bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan
Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah turut mengumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GRS.

Sementara itu, Setiausaha GRS yang dilantik adab Mohd Razali Razi, Penolong Setiausaha, Ardino Diris, Bendahari, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji turut berkata seramai 19 ahli jawatankuasa GRS dilantik mewakili parti masing-masing iaitu Datuk Masidi Manjun dan Datuk Mohd Arifin Arif mewakili BERSATU, Datuk Yakub Khan dan Datuk Jafry Ariffin mewakili UMNO, Datuk Radin Malleh dan Datuk Jahid Jahim mewakili PBS serta Datuk Ellron Angin dan Datuk Guandee Koh Hoi yang mewakili STAR.

Antara yang lain, Tan Sri Joseph Kurup dan Arthur Joseph Kurup mewakili PBRS, Datuk Yong Teck Lee dan Edward Dagul mewakili SAPP, Lu Yen Tung dan Dr Pamela Yong mewakili MCA, Peer Mohammad Kadir mewakili MIC serta Aminudin Aling dan Abdul Hashim Osman pula mewakili PAS.

Setiausaha Eksekutif GRS pula dilantik daripada parti BERSATU iaitu Abdul Kassim Razali.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *