30 Ketua Cawangan Warisan Sertai BERSATU Di Semporna

SEMPORNA, 16 Feb : Dakwaan nasib rakyat tidak terbela menjadi antara punca 30 ketua cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) di kawasan Parlimen Semporna keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas ketua cawangan Kampung Bangau-Bangau Panglima Atani, Noorasmah Omar berkata kepimpinan Warisan gagal mengotakan janji kepada rakyat, misalnya, mendirikan penempatan bagi mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau pada 2015.

Noorasmah, 57, antara 30 ketua cawangan dari Mukim Simunul serta Bangau-Bangau menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Bahagian Bersatu Semporna Mohd Daud Tampokong, di sini, hari ini.

Bekas ketua cawangan Warisan Sri Aman, Abdul Jal Jayari, 48, berkata beliau kecewa kerana dasar yang dibangkitkan dalam setiap kempen pilihan raya lalu tidak seperti yang diungkapkan antaranya berkaitan itu penempatan penduduk pesisir laut di Simunul.

“Penduduk pesisir laut di sana sedia maklum kawasan itu digazetkan dan diberi notis berpindah namun yang mengecewakan saya janji mereka, memberi jaminan hak penduduk dipertahankan jika menang pada pilihan raya lalu.

“Jangan mempengaruhi rakyat dengan perkataan yang memberi harapan namun hakikatnya itu hanya sandiwara, itu paling mengecewakan kami selaku pengundi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud mengalu-alukan lebih ramai penyertaan ahli baharu ke dalam Bersatu dan sejak 2018 sehingga kini lebih 20,000 keahlian direkodkan di Semporna.

“Tidak silap untuk menyertai Bersatu, kerana pimpinan negeri serta pusat itu diketuai oleh pimpinan Bersatu, kita ada peluang untuk membangunkan daerah ini, jadi kita patut rebut peluang itu dan kedudukan kita dari setiap sudut setara dengan daerah lain,” katanya.

Katanya, negara kini ditadbirkan pemimpin yang berjiwa rakyat dan bantuan demi bantuan disalurkan demi kelangsungan hidup penduduk ketika ramai terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Selain itu, Timbalan Ketua Bahagian Parti Cinta Sabah (PCS) Semporna, yang juga calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Mad Jalis Lais, turut menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu. – BERNAMA

2 thoughts on “30 Ketua Cawangan Warisan Sertai BERSATU Di Semporna

  • 22/02/2021 at 8:03 PM
    Permalink

    I like this! Informative to read, but I am not sure where to go next. Which of your posts can you point me to read next?

    Reply
    • 24/02/2021 at 5:45 PM
      Permalink

      hi, u can keep on track and see latest update on ARMADA NEGERI SABAH facebook and get all the details there.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.