ISU PEMBAYARAN GAJI UCSF BUKAN ISU POLITIK JUNZ WONG!

ISU PEMBAYARAN GAJI UCSF BUKAN ISU POLITIK JUNZ WONGIsu pembayaran gaji pekerja Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) bukan perkara yang baru dan pembangkang khususnya Parti Warisan Sabah (Junz Wong) dan PH sepatutnya tidak menuding jari kepada kerajaan negeri sekarang.

Masalah yang dihadapi oleh USCF ini berlaku dari zaman Barisan Nasional, Warisan Plus menjadi kerajaan. Jadi walaupun bertukar kerajaan sekalipun isu ini tidak akan selesai jika tiada rombakan atau perubahan drastik daripada UCSF.

Penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu iaitu menyuntik dana kepada USCF untuk memastikan UCSF terus hidup dan menampung pembelanjaan kos operasi dan gaji dan mungkin usaha ini diteruskan.  Sedangkan USCF merupakan kolej swasta dibawah Yayasan Sabah yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk menampung kos mereka sendiri.

Persoalannya yang kita perlu fikir kenapa UCSF bermasalah walaupun sudah ditubuhkan semenjak tahun 2013 tetapi masih gagal menjadi universiti swasta yang berdikari dan berjaya.

Hal ini perlu difikirkan bersama. Bagi penulis ada beberapa langkah yang boleh menjadi pilihan untuk UCSF kekal releven dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri Sabah dan pada masa yang sama mampu berdikari sama seperti universiti atau kolej swasta yang lain.

Pertama, pihak pengurusan tertinggi UCSF perlu ditukar kepada mereka yang betul-betul kompeten dengan mempunyai idea dan dasar yang jelas sekaligus mampu menarik ramai pelajar, geran penyelidikan dan para akademik untuk datang kepada USCF.

Kedua, UCSF juga perlu menilai kepada staf-staf sokongan dan akademik yang sedia ada, sama ada boleh membawa kepada pembangunan akademik dan pentadbiran. Setiap staf perlu diberikan penanda aras yang jelas. Jika tidak memenuhi penanda aras tersebut mereka perlu diberi amaran dan tindakan yang tegas.

Ketiga, menyemak kembali kos operasi UCSF, rasanya pihak Yayasan Sabah perlu untuk membuat audit dalaman mengenai kos pembelanjaan gaji dan operasi UCSF. Pastikan semua yang dibelanja hanya untuk keperluan dan bukan perkara- perkara yang tidak sepatutnya. Jimatkan apa yang boleh dijimatkan tidak semestinya dengan membuang pekerja tetapi mengurangkan kos yang difikirkan tidak sesuai semasa krisis kewangan ini.

Keempat, bagi mengelakkan pembuangan pekerja daripada UCSF, Yayasan Sabah boleh menyerap pekerja-pekerja yang ada di USCF ini di dalam anak-anak syarikat Yayasan Sabah untuk mengurangkan kos gaji pekerja UCSF.

Kelima, UCSF juga mempunyai pilihan untuk membuat usaha sama dengan universiti swasta yang berjaya atau dengan universiti terkemuka dunia untuk membuat kos akademik, penyelidikan atau pembangunan. Ini juga boleh membantu UCSF berkembang dengan cepat dan mempunyai kelebihan yang mampu menarik lagi banyak pelajar untuk menyambung pengajian di UCSF.

Langkah keenam, langkah terakhir yang munkin boleh menjadi pilihan ialah mengabungkan UCSF dan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS). Kalau berlaku pengabungan ini tentu sekali akan menjimatkan pembelanjaan dari segi operasi kerana hanya perlu fokus satu badan pembangunan pendidikan dibawah Yayasan Sabah dan tidak perlu dua entiti yang berlainan.

Kesimpulannya, tujuan dan matlamat UCSF ditubuhkan memang murni tetapi adakah UCSF masih dalam landasan yang sebenar? Jika tidak, satu rombakan pengurusan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan UCSF.  

Penulis masih menanti penulisan wakil rakyat pembangkang untuk memberi saranan dan cadangan yang membina, selain daripada memainkan isu ini sebagai isu politik yang tidak matang seperti yang dimainkan oleh YB Junz Wong.

Isu ini bukan isu politik tetapi lebih kepada isu UCSF yang perlu berubah banyak untuk memastikan kekal releven dan bukan hanya bergantung kepada dana suntikan daripada kerajaan negeri atau Yayasan Sabah.

Kita pun sebagai masyarakat kena bezakan isu ini, adakah isu yang wajar dipolitikkan atau tidak. Jika semua isu mahu dipolitikkan takut negeri Sabah ini cuma kaya dengan politikus yang bunyi kuat tapi hasilnya negeri kita terus ketinggalan.

Apapun semoga parti Warisan Sabah jadi  pembangkang“semak dan imbang bukan semak dan rambang” . Perlu sebenarnya pembangkang yang baik bagi memastikan  kita dapat mencipta suasana yang baik dan membina sekaligus membawa Sabah maju dari segi politik, ekonomi dan sosial.

Penyakit UCSF ini tidak akan selesai selagi kita terus politikkan isu ini. Yang penting sekarang cari punca masalah dan selesaikan punca masalah dengan betul dan serius.

Analoginya, perniagaan anak kita sudah bangkrap banyak kali, tetapi kita terus bagi dia duit untuk elak dia bangkrap. Memang boleh selesaikan masalah untuk dia tidak bangkrap tapi tidak akan membawa dia menjadi usahawan yang berjaya tetapi hanya menjadi dia sebagai usahawan yang gagal. Berbalik juga dengan isu UCSF jika tidak ditangani dengan baik, masalah ini akan terus jadi liabilti kepada Yayasan Sabah dan siapa pun parti memerintah selepas ini.

Sekian!

Bersama membina

Sabah Yang Lebih Baik!

*Gambar dibawah peristiwa pekerja-pekerja UCSF berkumpul disebabkan isu gaji mereka pada tahun 2020 semasa Warisan menerajui Kerajaan*

Zainald bin Zainuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *