Tuntutan waris Sulu malukan negara
KUALA LUMPUR: Tuntutan waris kepada Sultan Sulu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol membimbangkan dan memalukan negara.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kementerian Luar perlu sedar mengenai perkara berkenaan dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
โApa yang terjadi di Mahkamah Sepanyol sudah jatuhkan denda sebanyak RM63 bilion kepada Malaysia. Perkara ini tidak timbul sekiranya Kementerian Luar ada kesedaran bahawa perkara ini membimbangkan dan memalukan negara,โ katanya pada sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, beliau pasti mana-mana pemimpin Filipina tidak akan berhenti untuk menuntut Sabah.
โSaya pasti, Filipina sendiri tiada hasrat untuk gugurkan tuntutan ke atas Sabah. Ini kerana, siapa sahaja pemimpin Filipina pada pilihan raya yang tidak pertahankan tuntutan ke atas Sabah akan kalah,โ katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan, tuntutan waris kepada Sultan Sulu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol sebenarnya tidak diiktiraf.
Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama dilaporkan berkata, ini kerana tuntutan tersebut bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.
Malah katanya, Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi sebarang perkara dalam peruntukan timbang tara.-Utusan