Tiga Jawatankuasa Kerja Majlis Khas MA63 bentang laporan minggu depan – Muhyiddin

KUCHING – Tiga Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa minggu depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata tiga jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

“Penubuhan tiga jawatankuasa kerja ini bertujuan mengesyorkan kepada Majlis Khas MA63 berhubung cadangan penyelesaian isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosioekonomi selaras dengan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara,” katanya.

Berucap pada majlis Jamuan Negeri di Bangunan Baru Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini malam ini, beliau berkata terdapat beberapa cadangan yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah dan Sarawak yang telah diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.

“Perkara berkaitan dengan hal ehwal imigresen, pendaftaran negara, kawalan sempadan, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan nelayan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif, telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.