Sabah belum ada cadangan tukar Ketua Menteri kepada Premier

KOTA KINABALU – Sabah belum ada sebarang cadangan untuk menukar istilah Ketua Menteri kepada Premier seperti dilakukan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata penggunaan istilah Ketua Menteri adalah mencukupi bagi merujuk jawatan itu buat masa ini.

“Saya ingat panggilan Ketua Menteri pun setakat ini cukup baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI (Baiduri) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah mempunyai perancangan untuk menukar istilah Ketua Menteri kepada Premier seperti yang dilakukan oleh Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dalam kenyataannya memaklumkan berkuat kuasa hari ini, Ketua Menteri Sarawak digelar ‘Premier of Sarawak’ dalam Bahasa Inggeris dan ‘Premier Sarawak’ dalam Bahasa Melayu. Menurutnya, penguatkuasaan penggunaan istilah itu berikutan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sarawak selepas rang undang-undang berkaitan perkara tersebut diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 15 Februari.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak pula akan dirujuk sebagai ‘Deputy Premier’ dalam Bahasa Inggeris atau ‘Timbalan Premier” dalam Bahasa Melayu manakala Menteri Muda dirujuk sebagai ‘Deputy Minister’ dalam Bahasa Inggeris atau Timbalan Menteri dalam Bahasa Melayu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.