Sabah akan Menerima Ketua Polis Baharu September depan

KOTA KINABALU : Pertukaran 64 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diumumkan di Bukit Aman hari ini. Pertukaran tersebut akan berkuat kuasa pada 6 September tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Komisioner Polis (CP) Datuk Hazani Ghazali telah diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KNDKA) oleh Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Skandaguru Anandan. Beliau akan ditukarkan ke Bukit Aman pada bulan September kelak.

Posisi CP di Sabah pula digantikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Idris Abdullah.

Kedua-dua pegawai kanan polis ini adalah antara 64 pegawai yang akan dipindahkan berkuat kuasa 6 September tahun ini.

Selain itu, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah, DCP Datuk Dev Kumar kini akan menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan memangku jawatan CP Bukit Aman yang baharu. Tempat beliau pula akan digantikan oleh Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *