Proses pendataan semula warga asing dapat selesaikan isu keselamatan Sabah – Musa

KUALA LUMPUR: Proses pendataan semula warga asing di Sabah menerusi pengeluaran kad warga asing kepada mereka yang telah lama menetap di negeri itu bermula Mei ini dapat menyelesaikan banyak masalah dan isu keselamatan rakyatnya.

Penasihat Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata, pengeluaran kad warga asing itu boleh jadi medium kawalan kerana maklumat peribadi dan biometrik individu akan direkodkan bagi memudahkan kawalan ke atas golongan tersebut.

“Pelaksanaannya juga dapat memupuk dan menegakkan hak-hak kemanusiaan masyarakat di Sabah. Ini juga akan menaikkan nama baik Malaysia di mata masyarakat dunia selain menjadi contoh baik kepada negara-negara lain dalam tangani isu warga asing dan stateless di Sabah.

“Kita sebenarnya teruja dan menghargai segala usaha kerajaan tersebut selaku sebuah pertubuhan yang dibina atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan yang tinggi tidak kira siapa,” katanya bekas Ketua Polis Negara itu kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya pernah mencadangkan agar warga asing yang diluluskan melalui kad warga asing dijadikan sumber tenaga kerja di Sabah, malah ia boleh diperluaskan ke Semenanjung.

Namun, katanya, ia mendapat kritikan pihak-pihak yang tidak bersetuju.

““Tetapi bagi MHO berpendapat kita seharusnya memandang isu ini dengan lebih jauh untuk jangka masa panjang. Seandainya ini tidak ditangani dengan baik mungkin akan menimbulkan lebih banyak isu keselamatan di Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *