Program Pemecut Berasaskan Bio (BBA) mampu perkukuh agenda Sekuriti Makanan Negara – MAFI

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan 100 syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedia ada atau baharu dalam sektor pertanian, perindustrian dan penjagaan kesihatan Malaysia akan menyertai Program Bio-based Accelerator (BBA) menjelang suku kedua tahun 2023.

Program BBA yang baru dilancarkan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menawarkan aktiviti bimbingan dan sokongan kepada syarikatsyarikat pemula dan PKS berasaskan bio bagi merapatkan jurang dari aspek penerapan dan penggunaan teknologi, kemahiran, kewangan, kawal selia, dan kebolehpasaran produk, lalu membolehkan mereka menaik taraf dalam kepakaran dan menjadi syarikat yang matang dan mengguna pakai teknologi.

Menteri MAFI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata program BBA mampu memperkukuhkan lagi agenda Sekuriti Makanan Negara dengan membantu syarikat baru, perniagaan mikro atau syarikat besar yang berasaskan bio dengan menjadikannya lebih berinovatif melalui penggunaan sains, teknologi dan automasi di dalam operasi perniagaan masing-masing.

“Setakat ini, sebanyak 49 buah syarikat telah mendapat kelulusan status BBA dengan unjuran nilai pelaburan sebanyak RM737 juta yang dapat menyediakan hampir 2,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun. Bioeconomy Corporation menyasarkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM2 billion ringgit menjelang akhir tahun 2025 dengan 70 peratus daripada syarikat-syarikat yang terlibat mengadaptasi teknologi dan automasi di dalam perniagaan mereka,” tambah beliau semasa pelancaran rasmi BBA hari ini.

Beliau berkata bioteknologi merupakan salah satu tumpuan MAFI bagi tempoh 10 tahun akan datang di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi meningkatkan menggunapakai teknologi terutamanya bioteknologi dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula melalui kerjasama dan program berasaskan bio dalam meningkatkan pelaburan baru, selaras dengan program BBA.

Dalam pada itu,Pengerusi Bioeconomy Corporation, Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata bahawa BBA juga membolehkan syarikat berasaskan bio yang masih belum mengaplikasikan aktiviti-aktiviti berasaskan bioteknologi untuk mengembangkan potensi mereka dan menjadi syarikat berstatus BioNexus.

Katanya status ini melayakkan mereka untuk menerima insentif cukai khas, serta kemudahan dan jaminan lain yang seterusnya membantu pertumbuhan mereka.

“Sehingga suku keempat 2021, 252 syarikat berstatus BioNexus merekodkan pelaburan direalisasikan bernilai RM4.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020 walaupun endemik berterusan.

“Kami percaya angka ini akan bertambah baik apabila syarikat BBA akhirnya meningkatkan rantaian nilai untuk menjadi syarikat berstatus BioNexus,” tambahnya.

Sempena majlis pelancaran program BBA, Bioeconomy Corporation yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, telah bertukar dokumen MoU dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang diwakili oleh Ahli Lembaga Pengurusan Mohd Yazid Abdul Majid.

Perjanjian tersebut menandakan kerjasama antara kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan penglibatan dan membangunkan programprogram fasilitasi dan bimbingan untuk syarikat-syarikat dalam industri berasaskan bio di Malaysia, termasuklah syarikat-syarikat di bawah program BBA.

Melalui program BBA ini, syarikat boleh mengambil bahagian dalam pelbagai latihan dan program pembangunan yang berkaitan dengan pembangunan produk, kemudahan teknologi, akses pasaran, dan bantuan pembiayaan.

BBA juga menawarkan sesi pemindahan pengetahuan, latihan, pembentangan idea (pitching) dan sesi kesediaan produk, sertaperkongsian makmal atau kemudahan melalui Program Rakan Kongsi BioNexus (BNP) untuk mempromosikan kesediaan teknologi dan komersial di kalangan syarikat.

Dengan asuhan strategik yang disediakan, syarikat BBA boleh bersedia untuk memohon pelbagai pensijilan termasuk GMP, HACCP, MESTI dan Halal. Syarikat-syarikat itu juga berpeluang untuk menyertai inisiatif Bioeconomy Corporation seperti Biokerjaya @ My Future Agro untuk pekerjaan, Dana Teroka Asas Tani (AGFV) untuk pembiayaan, dan Rangka Tindakan Bioekonomi, iaitu strategi 10 tahun untuk industri bioteknologi dan berasaskan bio yang akan dilancarkan pada tahun 2022. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *