Peruntukan RN13 juta kepada LPNM dibawah perihatin manfaat kepada industri nanas

PAGOH: Peruntukan RM13 juta kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dapat memastikan sektor industri nanas di negara ini terus beroperasi seperti biasa.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata peruntukan di bawah PRIHATIN ini merangkumi keseluruhan aktiviti dan rantaian dalam industri nanas iaitu meliputi pekebun kecil, pengangkut dan penjual, pengeksport, usahawan pemasar dan usahawan industri asas tani.

Katanya ia juga selaras dengan halatuju LPNM dalam memperkasakan pembangunan industri nanas negara serta meningkatkan purata pendapatan pengusaha nanas daripada RM5,000 sebulan kepada RM8,000 sebulan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Pada masa sama, MAFI melalui LPNM memperuntukkan sebanyak RM137 juta melibatkan tujuh skop program pembangunan meliputi bantuan kepada pekebun kecil serta usahawan industri hiliran nanas,” katanya dalam satu kenyataan MAFI pada Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 di sini, hari ini.

Johor merupakan negeri yang mempunyai keluasan penanaman nanas terbesar dan lestari di negara ini.

Pada tahun 2020, Johor mencatatkan keluasan penanaman seluas 10,253 hektar iaitu 61 peratus daripada keseluruhan keluasan penanaman nanas negara iaitu 17,000 hektar diikuti dengan Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Program Jelajah Dialog Industri Makanan 2022 di daerah Pagoh ini dilaksanakan secara “Walkabout” turun padang memberikan peluang kepada usahawan agromakanan tempatan untuk berinteraksi secara terus bersama pihak Kementerian.

Program pada kali ini melibatkan pemain industri dalam sektor agromakanan yang berasaskan nanas merangkumi pengusaha penanaman nanas sehingga pengusaha produk hiliran berasaskan nanas yang berdaftar di bawah LPNM.

Hadir sama, Pengerusi LPNM Datuk Dr Sahruddin Jamal, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI  Datuk Badrul Hisham Mohd dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM Onn Abdul Shukur Tahiruddin.

Jelajah dialog ini merupakan program secara bersasar yang telah dirancang oleh MAFI ekoran kepada kejayaan Program Dialog Industri Agromakanan pada 10 Februari lepas untuk memperkukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara menerusi idea, pandangan dan cadangan para pemain industri dalam memacu hala tuju sektor agromakanan khususnya berkaitan sekuriti makanan supaya seiring dengan keperluan semasa. – SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.