Perdana Menteri terima kunjungan hormat daripada Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menerima kunjungan hormat dari Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi Facebook beliau menyatakan kunjungan hormat terbabit merupakan pertemuan pertamanya dengan Hajiji.

“Ini merupakan pertemuan secara bersemuka kami untuk kali pertama sejak beliau diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 pada 29 September lepas.

“Kami membincangkan pelbagai perkara berkaitan kemajuan negeri Sabah termasuk perkembangan terkini kes COVID-19 dan usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menangani penularan wabak itu di sana.

“Ketua Menteri Sabah juga melaporkan mengenai status perbelanjaan peruntukan RM50 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membendung wabak COVID-19 di Sabah.

“Selain itu, beliau juga mengutarakan cadangan keperluan dan keutamaan negeri Sabah untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Muhyiddin turut berkata beliau menyatakan harapannya agar Hajiji mampu menjalankan amanah mentadbir Sabah dengan cemerlang seterusnya memberi kebaikan kepada seluruh rakyat dari aspek sosial dan ekonomi.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *