Penambahan bilangan kerusi Ahli Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kepada satu pertiga

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, cadangan untuk menambah bilangan kerusi Ahli Parlimen bagi Sabah dan Sarawak kepada satu pertiga telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rakan Sekutu pada 8 Februari lepas.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memutuskan supaya perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk penelitian selanjutnya.

“Saya cadangkan agar Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan tuntutan ini secara terbuka dan teratur dan mengemukakan keputusan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan seterusnya.

“Ada juga pihak di Sabah dan Sarawak berpandangan bahawa tuntutan ini dibentangkan terlebih dahulu di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 27 kementerian selesai menggulung perbahasan tersebut yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin dimulakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri.

Persidangan Dewan bersambung Isnin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.