Pemimpin Sabah terpilih anggotai Majlis Tertinggi Perikatan Nasional

KOTA KINABALU: Beberapa orang pemimpin Sabah telah terpilih dan dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.

Antara pemimpin Sabah yang telah dilantik adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Pengerusi PN dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee juga dilantik Timbalan Pengerusi PN.

Selain itu, Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi dan Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi PN.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional Sabah secara rasmi.

Hajiji dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata beliau menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan terbabit.

“Pelantikan ini merupakan satu amanah besar untuk membentuk dan memperkukuhkan organisasi dan gerak kerja parti di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi.

“Hari ini saya telah mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan tertinggi semua parti
Komponen PN peringkat negeri Sabah yang terdiri daripada BERSATU, STAR, SAPP dan PAS.

“Kepimpinan PN Sabah telah membentuk
kesepakatan dan persetujuan untuk membentuk dan memperkemas organisasi serta gerak kerja PN di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi.

“Kita juga memperkukuh kerjasama di antara PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) demi membentuk kesepakatan padu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus memperkuat kerajaan GRS dalam menunaikan amanah serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Hajiji turut berkata pihaknya juga memastikan PN dan parti komponen di Sabah meningkatkan
keberkesanan khidmat bakti demi kesejahteraan rakyat.

Selain itu, beliau juga berkata pihaknya menyokong sepenuhnya kepimpinan Muhyiddin selaku Perdana Menteri Malaysia dan kerajaan PN di peringkat Persekutuan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.