Moratorium Automatik 6 Bulan Tanpa Syarat, Pengeluaran KWSP RM5,000

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian moratorium automatik selama enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada golongan B40, M40 atau T20 atau usahawan mikro.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tiada sebarang syarat akan dikenakan oleh pihak bank termasuk pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

Muhyiddin berkata orang ramai hanya perlu memohon dan kelulusan moratorium berkenaan akan diberikan secara automatik.

“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

Untuk rekod bantuan moratorium automatik berkenaan adalah kali kedua yang diumumkan kerajaan selepas pertama kali dilaksanakan pada April tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Citra dengan pengeluaran maksimum sebanyak RM5,000 atau kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan yang akan memberi manfaat seramai 12.6 juta pencarum.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya.

Muhyiddin berkata, PTPTN bersetuju memberikan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjamnya bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Kerajaan juga bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran Persekutuan di bawah JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan serta menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran MARA untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan.

“Kerajaan juga bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan,” katanya.

Katanya, nilai keseluruhan inisiatif ini dianggarkan berjumlah RM400 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.6 juta rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *