MKMA63 setuju serah pentadbiran Sipadan dan Ligitan kepada Sabah

KUALA LUMPUR: Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju untuk menyerahkan pentadbiran pulau Sipadan dan Ligitan kepada kerajaan negeri Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat MKMA63 bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi MKMA63 Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.

Turut diputuskan dalam pertemuan itu adalah persetujuan untuk menyerahkan kawalan sepenuhnya terhadap pengurusan pengeluaran gas bagi negeri Sarawak.

Maximus berkata, akhirnya dua isu lama membabitkan negeri Sabah dan Sarawak berjaya menemui jalan penyelesaian.

Menurutnya, dua keputusan bersejarah tercipta iaitu salah satunya adalah penyerahan rasmi pulau Sipadan dan Ligitan kepada Sabah.

“Ini bermakna, kuasa dan kawalan sepenuhnya bagi pentadbiran kedua-dua pulau berkenaan terletak di bawah bidang tugas kerajaan negeri.

“Perdana Menteri turut menjelaskan Sabah mempunyai hak kedaulatan terhadap kedua-dua pulau terbabit yang berada dalam pengawasan Taman-Taman Sabah (TTS). Ia juga diletakkan di bawah perlindungan Akta Kawasan Perlindungan dan Tempat Terlindung 1959.

“Bagaimanapun, ia terkecuali bagi kawalan keselamatan yang masih berada di bawah kuasa kerajaan Persekutuan. Penyerahan sepenuhnya akan diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maximus yang mengetuai Sekretariat MKMA63 berkata, kedua-dua isu berkenaan diselesaikan dalam masa empat bulan sejak MKMA63 mengadakan mesyuarat pertamanya pada bulan Disember tahun lepas.

Menurutnya, sejak MKMA63 ditubuhkan, banyak perkara dapat dicapai di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

“Banyak hasil berjaya dicapai, baik dari segi dasar dan undang-undang, terutama yang membabitkan aspirasi dan memenuhi tuntutan MA63,” katanya.

Mesyuarat MKMA63 berkenaan turut disertai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Datuk Patinggi Abang Johari Openg. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *