MCMC terus tangani masalah capaian internet jangka panjang dan jangka pendek

KUALA LUMPUR (Bernama): Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus berusaha untuk menangani masalah capaian Internet di seluruh negara bagi memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan internet yang berkualiti dengan melaksanakan tinjuan di lokasi aduan.

MCMC berkata pihaknya mengambil tindakan atas laporan mengenai sekumpulan pelajar sekolah di Kg Sri Kledang, Hulu Selangor yang terpaksa belajar di bawah pokok nangka dan di atas bukit dalam ladang kelapa sawit bagi mendapatkan capaian Internet dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

”Susulan itu, MCMC telah merangka penyelesaian jangka pendek, dan pihak kami akan membina sebuah menara baharu berdekatan dengan Kg. Sri Kledang serta dijangka beroperasi pada hujung Mac depan.

“Selain itu sebuah menara komunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dicadangkan dibina di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu kira-kira 2.1 kilometer dari Kg Sri Kledang serta dijangka bermula pada awal tahun 2022,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai laporan media mengenai pelajar sekolah di kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail, perkata itu turut mendapat perhatian MCMC, yang mengadakan lawatan ke lokasi aduan bagi mendapatkan maklumat lanjut selain menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi di situ.

“MCMC menghubungi syarikat telekomunikasi bagi melaksanakan pengoptimuman antena menara komunikasi di kawasan-kawasan kampung dan dijangka siap menjelang hujung Feb ini selain menara baharu akan dibina di kawasan aduan dan kerja-kerja pembinaan menara dijangka bermula hujung tahun 2021,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, MCMC mendapat aduan dan membuat tinjaun lokasi mengenai kelemahan liputan selular di Kampung Orang Asli Tasik Mentega, Pahang dan mengarahkan pihak telekomunikasi Celcom untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf pada menara Kg Paya Mentiga dan dijangka siap pada hujung Mac ini.

Menurut MCMC, satu tinjauan telah dilakukan di lokasi Kg Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan mengenai capaian Internet yang lemah dan pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja peningkatan kualiti capaian Internet selain menara baharu dicadang dibina di kawasan Kampung Orang Asli terletak kira-kira tiga kilometer di bawah pelan JENDELA.

Mengenai laporan aduan yang dibuat di Kg Payong, Setiu, MCMC membuat satu lagi tinjuan bagi menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi dan pihaknya akan menaik taraf sebuah menara komunikasi di kampung itu dijangka bermula pada suku kedua 2021.

Selain itu, MCMC juga menerima aduan dan membuat tinjauan lokasi di  Kg Bukit Chempedak, Kg Jerong Seberang, Kg Jerong Surau dan Kg Jerong Tuan, Pengkalan Berangan Marang dan tindakan susulan akan diambil.

“MCMC akan menaik taraf menara komunikasi di Kg Jerong Seberang dan dijangka bermula pada suku kedua 2021 selain menara komunikasi baharu akan dibina di Kg Bukit Chempedak bermula pada awal tahun 2022,” kata suruhanjaya itu. -SUMBER: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *