Kerajaan pusat akan terus bekerjasama dengan negeri Sabah dalam Ops Murni Sabah
PAPAR : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan untuk terus membantu pengurusan bencana banjir di negeri Sabah menerusi Ops Murni Sabah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memperaku telah memberi jaminan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Haji Noor, untuk terus bekerjasama rapat dengan negeri Sabah menerusi ops tersebut setelah bersama – sama Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid, ke Markas Divisyen Kelima Infrati Kem Lok Kawi.
Hishammuddin berkata, 385 anggota bersama 50 aset ATM daripada Briged Kelima Infantri Malaysia Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia Pantai Timur Sabah, bersiap siaga menghadapi banjir di negeri itu.
“Sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) diatur gerak.
“Mereka bukan sahaja membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama pusat pemindahan sementara (PPS), malah menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS,” katanya.
Kerja – kerja pembersihan dan kerja baik pulih giat dijalankan dan mereka bersiap siaga bagi menguruskan bencana banjir di negeri itu.