Kerajaan negeri dan Persekutuan bincang tingkatkan aliran masuk pelaburan ke Sabah
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sabah dan rakan sejawat di Persekutuan bekerjasama rapat untuk meningkatkan aliran masuk pelaburan asing dan domestik ke negeri ini.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam.
Dalam pertemuan terbabit, Hajiji turut memaklumkan Azmin mengenai visi kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rangka tindakan pembangunan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta mencapai pembangunan yang berkualiti untuk Sabah.
“Kerajaan negeri komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih banyak pelabur ke Sabah,” katanya.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memastikan program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat rakyat di Sabah.
Ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 baru-baru ini, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri menjelaskan bahawa aliran masuk dana pelaburan domestik dan asing khususnya dalam sektor pembuatan pada 2019 meningkat dengan ketara kepada RM6.48 bilion daripada RM0.23 bilion pada tahun sebelumnya.
“Bagi suku pertama tahun lalu, nilai pelaburan yang diluluskan adalah RM11.7 bilion, sekali gus membuktikan bahawa Sabah terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan sektor ini pada 17.0 peratus setahun dengan unjuran sumbangan kepada KDNK sebanyak 35 peratus pada tahun 2030.
“Pada tahun ini, sejumlah RM142.85 juta diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian dan perdagangan di bawah Kementerian Kewangan; Kementerian Pembangunan Perindustrian; Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Jabatan Ketua Menteri.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM49.35 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian termasuk Jabatan Pembangunan Industri dan Penyelidikan untuk melaksanakan berbagai program seperti pembangunan infrastruktur industri, keusahawanan, mempromosikan pelaburan, dan usaha untuk meningkatkan daya saing industri dengan memanfaatkan Revolusi Industri (IR) 4.0,” katanya.
Tamat