Kerajaan akan umumkan bantuan moratorium dan i-Sinar

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan akan mengumumkan bantuan sewajarnya meliputi pemberian moratorium dan pengeluaran i-Sinar dalam masa terdekat.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementeriannya sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi berkaitan mengenai perkara berkenaan.

“Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, InsyaAllah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ketika ini pemberian moratorium hanya diberikan kepada peminjam yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

Ia tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Mereka juga diberi pilihan untuk mengurangkan bayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus.

Selain itu, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh juga dibenarkan memohon moratorium.

Malah, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sejajar dengan pengurangan pendapatan.

Sementara itu, pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan pemansuhan kriteria pengeluaran kemudahan i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan lebih ramai pencarum KWSP mengeluarkan caruman dari Akaun 1 mereka.

Mulai 8 Mac lalu, ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150.

Di bawah syarat baharu ini, kriteria pengurangan pendapatan tidak lagi terpakai untuk permohonan i-Sinar.

Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Manakala, bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000.

Sumber Berita: Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published.