Kad warga asing diwujudkan untuk warga asing lama di Sabah

PUTRAJAYA: Kad warga asing akan diwujudkan sebagai dokumen bagi kerajaan mengenal pasti keberadaan warga asing yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menyifatkan cadangan yang dikemukakan oleh  kerajaan Sabah sebagai baik, Hamzah berkata kad warga asing itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti bilangan serta keberadaan warga asing di Sabah.

“Masalah di Sabah begitu sulit. Mereka (warga asing) ini telah tinggal lama contohnya generasi kedua atau ketiga dan kita tahu mereka ini warga asing dan tiada dokumen langsung.

Oleh itu, kita ingin selaraskan dan kita beri kad warga asing. Apa yang penting adalah keberadaan sesiapa sahaja dalam negara ini, (mereka) perlu mempunyai dokumen dan identiti kita tahu mereka adalah warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, di sini hari ini.

Ditanya jumlah warga asing yang akan diberikan kad berkenaan, Hamzah berkata pendataan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti jumlah warga asing yang ada di Sabah.

“Kad warga asing mungkin dapat dalam masa tiga bulan lagi. Kita berikan adalah kad warga asing bukan kad warganegara… jelas tertera dia warga asing di kad tersebut,” katanya.

Beliau berkata apabila mereka dikenal pasti sebagai warga asing, mereka mungkin boleh digunakan sebagai tenaga kerja dan diberikan kad pekerja.

“Kita lakukan ini bermaksud ada sikap perikemanusiaan dan mereka juga warga dunia, sebagai warga dunia kita harus memberi mereka pengenalan,” katanya.Dalam pada itu, Hamzah berkata mesyuarat JKPWAS-INDUK hari ini bersetuju supaya pelaksanaan penguatkuasaan melalui operasi bersepadu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Sabah diteruskan bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah.

Selain itu, katanya cadangan penempatan semula masyarakat Pala’u akan diteliti lebih lanjut di peringkat pegawai dari aspek dasar dan perundangan melalui sebuah jawatankuasa kerja.

Hamzah berkata mesyuarat JKPWAS-INDUK juga bersetuju mempertimbangkan kemudahan khusus untuk Sabah bagi memastikan pembangunan di negeri itu tidak terjejas dan terus pesat membangun.

Berhubung isu pendaftaran lewat kelahiran di Sabah, Hamzah berkata pindaan Ordinan Kelahiran dan Kematian di Sabah atau Cap. 123 sedang diteliti di peringkat akhir untuk mempertimbangkan tempoh pendaftaran kelahiran dari 42 kepada 90 hari.

“Isu kelewatan pengusiran tahanan imigresen di depot-depot imigresen di Sabah pula sedang diteliti dan akan terus dirunding bersama kedutaan berkenaan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *