Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sabah hingga Mac

KUALA LUMPUR – Beberapa siri hujan lebat secara menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah susulan fasa Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November tahun lalu dijangka berterusan hingga Mac ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Khamis, tinjauan cuaca bagi tempoh Februari hingga Mac sepanjang tempoh monsun berkenaan, negara cenderung menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dari arah timur laut berkelajuan 10 hingga 20 kilometer per jam.

MetMalaysia melaporkan, tinjauan cuaca tersebut dikeluarkan berdasarkan analisis beberapa model tinjauan iklim terpilih antaranya NCEP Coupled Forecast System Model Version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre) dan European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF).

“Pada bulan ini (Februari), kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara tiada hujan hingga 250 milimeter (mm). Di Sarawak, paras purata hujan antara 150 mm hingga 400 mm akan melibatkan kebanyakan kawasan kecuali Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dengan jangkaan 300 mm hingga 700 mm,” menurut kenyataan tersebut.

Bahagian pantai barat dan pedalaman Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras 50 mm hingga 100 mm manakala Kudat, Sandakan dan Tawau akan menerima hujan berlebihan sedikit sehingga 400 mm pada bulan ini.

MetMalaysia berkata, kebanyakan kawasan di Semenanjung akan menerima paras purata hujan 100 mm hingga 350 mm dan 50 mm hingga 400 mm masing-masing pada Mac dan April.

Pada bulan depan, kebanyakan kawasan di Sarawak akan mengalami hujan pada purata 150 mm hingga 450 mm manakala pada April, Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dijangka menerima hujan sedikit pada kadar bawah purata.

MetMalaysia memaklumkan Kudat, Sandakan dan Tawau di Sabah pada Mac pula dijangka menerima hujan berlebihan dengan purata 150 mm hingga 300 mm dan pada April hujan dengan purata 50 mm hingga 250 mm akan turun di negeri berkenaan. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *