Hajiji: Sabah & Sarawak memperkukuhkan hubungan erat sedia ada

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tiba di sini hari ini bersama pemimpin tertinggi kerajaan negeri Sabah untuk lawatan satu
hari bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada dengan Sarawak.

Dalam lawatan sulungnya ke Kuching sebagai Ketua Menteri Sabah, Hajiji mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Sarawak, Datuk Patinggi
Tan Sri Abang Haji Johari Tun Openg buat kali pertama selepas beliau mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri itu, pada Disember lalu.

Hajiji berkata, selain secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Abang Johari atas kejayaan mendapatkan mandat yang jelas untuk menerajui
kerajaan, lawatan itu juga bertujuan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia. “Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah dan perjuangan.

Oleh itu, terdapat banyak sinergi untuk dimanfaatkan untuk kebaikan kita bersama. “Sebagai ahli dalam Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana
Menteri, kami telah bekerjasama secara padu untuk mendesak kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, pada tahun lalu,” tegasnya.

Dalam mesyuarat itu yang turut dihadiri anggota Kabinetnya, Tan Sri Abang Johari berkongsi pandangannya mengenai beberapa perkara termasuk hubungan negeri-Persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak dan Sabah dalam mendapatkan hak negeri.

Hajiji berkata beliau dan Tan Sri Abang Johari bukanlah asing, kedua-duanya telah lama berkawan dan rakan sekerja, berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dalam kerajaan terdahulu.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah tiga timbalannya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin; Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim
Gunsalam; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *