Geran Khas Prihatin PKS dinaikkan kepada RM1,500
KUALA LUMPUR: Hampir sejuta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan mendapat manfaat melalui Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,500 yang akan dibayar sebanyak dua kali mulai Jun.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menambah kadar GKP daripada RM500 sebelum ini kepada RM1,500 bagi memastikan kelangsungan perniagaan khususnya buat PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka.
“Hampir sejuta PKS dan perusahaan mikro akan menerima RM1,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada Julai,” katanya ketika mengumumkan inisiatif Program Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) malam ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pembiayaan mikro kredit sebanyak RM1.5 bilion juga disediakan sepanjang tahun kepada peniaga kecil, penjaja jalanan termasuk perusahaan mikro oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kadar pembiayaan serendah tiga peratus.
Ini kerana katanya, kerajaan masih membenarkan operasi jual beli peniaga kecil, penjaja jalanan melalui prosedur operasi standard (SOP) terbaharu.
Beliau berkata, sebanyak RM7 bilion dana pinjaman masih tersedia untuk PKS melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah perusahaan itu di bawah pembiayaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu aliran tunai syarikat.
Katanya, ia termasuklah RM2 bilion melalui penambahan fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas bagi menyokong lagi perusahaan berkenaan.
“Institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan yang masih berbaki RM5 bilion.
“Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion.
“Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion,” katanya.