DUN Sarawak lulus usul guna Premier

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang melibatkan Perkara 6 (3) bagi menggantikan perkataan Ketua Menteri kepada Premier.

Ia diluluskan selepas 67 ahli DUN mengundi menyokong RUU itu manakala enam menentangnya selepas pusingan kedua pengundian secara angkat tangan di hadapan Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Terdahulu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah membentangkan RUU berkenaan pada sesi pagi persidangan.Ads by Kiosked

Bagaimanapun empat ADUN pembangkang yang membantah RUU berkenaan terdiri daripada DUN Bawang Assan, Wong Soon Koh; DUN Padungan, Chong Chieng Jen; DUN Pending, Violet Yong Wui Wui dan DUN Ba’Kelalan, Baru Bian. Dua ADUN tidak hadir.

Abdul Karim dalam pembentangan RUU pindaan itu menjelaskan kepada Dewan bahawa Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan), 2021 pada 14 Disember 2021, yang antara lain, meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan mengembalikan peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia dalam 1963, kecuali rujukan kepada Singapura.

Takrifan “Persekutuan” dalam fasal (2) Perkara 160 pula telah dipinda mengikut semangat perjanjian yang berkaitan dengan Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut kuasa perjanjian berkaitan pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Beliau berkata cadangan pertukaran nama jawatan Ketua Menteri kepada Premier itu selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini yang mengembalikan semangat asalnya oleh pihak-pihak terlibat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), apabila Sarawak bersetuju untuk menjadi rakan dalam pembentukan Malaysia, iaitu bersetuju supaya Sarawak mengekalkan statusnya sebagai salah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu.

Beliau berkata ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan tidak boleh dianggap sebagai sama taraf dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

“Status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia

“Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain termasuk Australia dan Kanada, ketua persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua-Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan digelar Premier manakala sub-rantau atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri.

Oleh itu, katanya untuk menggambarkan dengan betul status Sarawak sebagai berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia, adalah dicadangkan supaya jawatan Ketua Menteri ditukar kepada Premier. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *