WARISAN nafi mahu kerjasama dengan UMNO

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan khabar angin bakal menjalin kerjasama dengan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sebaliknya mengakui lebih berminat bersama Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kecenderungan pihaknya untuk menjalin kerjasama dengan PBS adalah disebabkan kedua-dua parti tempatan terbabit mempunyai matlamat sama dalam memperjuangkan hak rakyat negeri Sabah.

“PBS adalah sebuah parti tempatan Sabah. Saya tahu semangat, sentimen, keinginan dan perjuangan mereka dan ia sesuatu yang bagus. Jika dapat menjalin kerjasama dengan mereka, kenapa tidak?

“Bagaimanapun, sudah tentu kita juga akan bekerjasama parti nasional lain kerana kita adalah satu bangsa. Kita tidak boleh berlagak kita seorang (satu-satunya parti),” katanya dalam sidang media khas, semalam.

Ditanya sama ada beliau sudah menghubungi Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkaitan perkara itu, Shafie berkata, beliau hanya menyatakan pendapatnya.

“Tidak, saya tidak menghubungi sesiapa dari parti lain cuma ada yang bertanya dengan siapa saya berminat untuk bekerjasama dan saya hanya mengatakannya. Namun itu terpulang kepada mereka dan jika mereka menentangnya, tiada masalah.

“Saya hanya menyatakan jika ada peluang untuk menjalin kerjasama dengan mereka atau parti lain yang memperjuangkan kepentingan serta hak rakyat Sabah. UMNO juga menunjukkan mereka mahu bekerjasama dengan kami. Kenapa tidak? Tapi mereka tidak boleh hanya memberitahu apa mereka mahu tanpa bertanya apa yang kami mahukan.

“Sebagai ahli politik, mereka perlu tahu dan peka apa yang rakyat Sabah dan rakyat Malaysia mahu,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *