Wanita cedera, kereta terbabas di bahu jalan
KOTA BELUD: Seorang pemandu wanita terselamat selepas kereta dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di Jalan Kelawat di sini awal pagi tadi.
Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Zulfadli Usman berkata kejadian jam 5.24 pagi itu bagaimanapun menyebabkan mangsa yang berumur 31 tahun itu mengalami kecederaan.
“Bertindak dengan panggilan kecemasan diterima, seramai 11 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud ke lokasi sejauh 14 kilometer.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di kenderaan jenis kompak itu dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.
“Mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya keadaan mangsa adalah stabil sepanjang perjalanan ke hospital.
“Pasukan operasi membuat pemeriksaan terakhir dilokasi kejadian bagi memastikan kawasan kemalangan selamat dilalui oleh semua jenis kenderan lain sebelum menamatkan operasi jam5.52 pagi,” katanya. – Utusan Borneo