Tuntutan Sabah, Sarawak sedang perbaiki, kata Ongkili

KOTA KINABALU: Putrajaya akan menghormati tanggungjawab kewangannya terhadap dua negeri Borneo, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili.

Jaminan Ongkili itu susulan kritikan Jeffrey Kitingan, timbalan ketua menteri dan presiden STAR, terhadap Putrajaya berhubung tunggakan bayaran pelbagai geran kepada Sabah dan Sarawak, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Ongkili, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, semua usaha berkaitan kewajipan kewangan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bergerak mengikut perancangan, dan sedang dilaksanakan Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63).

Katanya, kerajaan Sabah dan Sarawak masing-masing bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa perundingan bersama itu.

Ia akan memfokuskan semakan semula geran khas berkenaan, termasuk bayaran geran 40% untuk Sabah, seperti diperuntukkan Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berhubung isu itu, dan kami mempersetujui bidang rujukan, termasuk senarai anggota,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kewangan II Sabah, Masidi Manjun akan mengetuai pasukan Sabah, yang turut dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong, Peguam Besar Negeri, Nor Asiah Mohd Yusof dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Rusdin Riman.

Pasukan Sarawak pula akan diketuai Timbalan Ketua Menteri, Amar Awang Tengah Ali Hassan, dan dianggotai Peguam Besar Negeri, Talat Mahmood Abdul Rashid serta Setiausaha Kewangan Sarawak, Amar Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Pihak Zafrul terdiri daripada beberapa pegawai kanan dari kementeriannya.

Semalam, Kitingan berkata, tanggungjawab kerajaan persekutuan terhadap dua negeri itu tidak hanya terbatas kepada menjaga hubungan diplomatik dan keselamatan, tetapi juga memastikan negeri Borneo itu berkemampuan dari segi kewangan untuk mengurus wilayah masing-masing.

Katanya, jika kerajaan persekutuan memenuhi kewajipan kewangannya terhadap Sabah dan Sarawak, dua negeri itu akan dapat menyelesaikan masalah kewangan masing-masing dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.

Ongkili berkata, jawatankuasa itu antara lain akan menyemak peruntukan perundangan berkaitan hal ehwal kewangan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Selain itu, ia juga akan meneliti pengiraan dan bayaran geran tahunan, serta geran lain, seperti termaktub di bawah MA63, termasuk bayaran terdahulu.

Jawatankuasa itu dijangka bertemu sejurus mesyuarat MKMA63 pada 13 April ini, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ongkili akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama bagi pihak MKMA63, dan membentangkan usul untuk diputuskan majlis berkenaan. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *