TUDM bantu hantar 7,000 pek barang sumbangan kebajikan NGO ke Sabah
KOTA KINABALU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar 7,000 pek barangan sumbangan kebajikan dari pertubuhan badan bukan kerajaan, NGO Yayasan Ikhlas, hari ini.
Jurucakap TUDM dalam satu kenyataan media berkata penghantaran dilakukan melalui penerbangan โlogistic communicationโ melibatkan sebuah pesawat angkut A400M TUDM yang telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kota Kinabalu pada jam 7 pagi tadi.
“Barangan sumbangan kebajikan tersebut adalah untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik COVID-19.
“Antara barangan sumbangan kebajikan yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin dengan anggaran berat keseluruhan 6,650 kilogram (KG).
“Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal jam 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.
Pesawat telah dikendalikan oleh Mejar Mohd Shafique TUDM selaku juruterbang dan
dibantu oleh Kapten Mohamad Ridhwan TUDM selaku pembantu juruterbang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata menerusi penghantaran barang sumbangan kebajikan kali ini, sebanyak 1,000 pek daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asas makanan akan diagihkan kepada golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 meliputi kawasan Semporna, Tawau dan Lahad Datu dengan jumlah sumbangan bernilai RM 1.4 juta.
Tamat