Tiga orang nelayan hilang telah ditemui selamat

KOTA KINABALU: Tiga orang nelayan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas telah ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), petang semalam.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, tiga orang nelayan terbabit ditemui jam lima petang di sekitar perairan Permatang Ubi dengan jarak kira-kira 160 batu nautika barat laut, dari sini.

Difahamkan, pihak TLDM menerima laporan mengenai kehilangan itu pada jam 10 pagi, semalam.

Mengikut laporan yang diterima, bot nelayan bersama 12 kru dan tekong sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan terbabit.

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga nelayan terbabit bersama tiga bot pancing sokongan hilang dipercayai terputus hubungan dengan bot induk yang pada ketika itu berjauhan dan mengalami cuaca yang buruk.

Pegawai Memerintah KD Todak, Leftenan Komander Mohd Rozaimi Mahmod dalam kenyataan media yang sama berkata susulan dari laporan tersebut, pihaknya yang sedang melaksanakan operasi di kawasan tersebut telah digerakkan bagi melaksanakan pencarian mangsa yang hilang.

“Ketiga-tiga kru tersebut ketika ditemui sedang terapung dan berada dalam keadaan yang sangat lemah kerana hampir dua hari terputus bekalan makanan.

“Seterusnya, kapal menghulurkan bantuan awal dengan menyediakan makanan dan minuman panas sebelum menyerahkan kru tersebut kepada bot induk untuk belayar pulang ke Kota Kinabalu,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *