Tiada rumah terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak menganjurkan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini meskipun situasi COVID-19 semakin pulih.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, bagaimanapun berkata Kabinet negeri semalam bersetuju mengadakan resepsi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dengan kehadiran kira-kira 1,000 tetamu.

Beliau berkata, majlis itu diadakan pada 7 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, berdasarkan jemputan sahaja.

“Antara yang dijemput ke majlis itu nanti ialah pemimpin pembangkang,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Sekretariat Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini, malam tadi.


Beliau berkata, pihak Istana Seri Kinabalu juga tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka seperti kebiasaan sebelum pandemik COVID-19.

Katanya, pihak Istana Seri Kinabalu juga hanya mengadakan majlis resepsi Aidilfitri dengan kehadiran terhad kira-kira 100 tetamu sahaja.

Hajiji berkata, beliau gembira dengan perkembangan semasa COVID-19 di Sabah yang menunjukkan penurunan berterusan kes harian dan berharap keadaan akan pulih sepenuhnya.

Semalam, Sabah hanya mencatat 40 kes baharu COVID-19, iaitu yang terendah direkodkan sejak lebih setahun lalu.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri melahirkan penghargaannya kepada Sekretariat Halatuju SMJ di bawah

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dalam memastikan pelan pembangunan kerajaan negeri itu berjalan lancar.

SMJ dilancarkan pada Mac tahun lalu sebagai panduan pembangunan kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada September 2020. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *