Terpaksa tidur mencangkung kerana sakit

PAPAR: Penyakit ketumbuhan tulang belakang atau Intradural-Extramedullary tumor yang dihidapi Mohammad Haikhal Ali Hussin, 13, menyebabkan dia tdaik mampu bergerak.

Ibunya, Widyaayu Hamdin, 33, berkata, penyakit anaknya itu mula dikesan pada tahun lalu.

“Haikhal merasa sakit di belakangnya ketika awal Mac tahun lalu. Ketika itu dia berusia 12 tahun.

“Pada mulanya saya dan suami, Ali Hussin Boyat, 39, menganggap ia hanya sakit biasa saja kerana kami membawa Haikhal ke sebuah hospital dan menjalani ujian x-ray tetapi doktor kata tiada apa-apa.

“Jadi setiap kali Haikhal sakit belakang kami memberinya makan panadol saja sehinggalah kami memutuskan untuk membawa Haikhal melakukan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, barulah doktor mengesan dan mengesahkan anak saya menghadapi penyakit ketumbuhan tulang belakang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kelanahan, di sini, hari ini.

Widyaayu berkata, disebabkan penyakit itu, anak sulung daripada empat beradik itu terpaksa menggunakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.

Menurutnya, HQE 2 juga memaklumkan pembedahan perlu dijalankan dengan kadar segera.

“Difahamkan pembedahan memerlukan kos sebanyak RM60,000 dan doktor memberi tarikh 3 Mac depan untuk pembedahan.

“Walau bagaimanapun, kami sedang menunggu keputusan kelulusan permohonan dana kebajikan hospital sebanyak RM21,000 bagi menampung sebahagian kos pembedahan itu.

“Doktor juga berkata anggaran waktu Haikhal perlu ditahan dan dirawat di hospital adalah selama setahun sehingga sembuh sepenuhnya dari pembedahan,” katanya.

Widyaayu berkata, penyakit itu juga menjejaskan pembelajaran Haikhal.

“Haikhal agak sukar memegang pensil jadi dia terpaksa menulis dengan perlahan-lahan ketika sesi pembelajaran secara dalam talian di rumah,” katanya.

Sementara itu, Haikhal berkata, dia tetap menguatkan semangat berdepan penyakit itu.

“Setiap kali waktu malam, rasa sakit mula menyerang belakang saya dan saya harus memakan ubat tahan sakit. Malah saya perlu tidur dalam keadaan mencangkung.

“Ubat tahan sakit mempunyai kesan mengantuk jadi apabila saya sudah tidur, barulah ibu bapa dapat membetulkan posisi tidur saya dalam keadaan baring,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk tampil membantu boleh menyalurkan sumbangan di nombor akaun 1211029000185464 (Bank Simpanan Nasional) atau boleh menghubungi Widyaayu di talian 0178921202 untuk sebarang maklumat lanjut. — sumber Harian Metro

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.