Tempat letak kereta di Kinabalu Park, Jalan Tamparuli-Ranau akan dibaiki segera

RANAU: Kawasan tanah runtuh membabitkan kawasan letak kereta di Taman Negara Gunung Kinabalu yang turut menjejaskan jalan utama Tamparuli-Ranau akan dibaiki dibaiki dengan kadar segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr. Joachim Gunsalam berkata, kerja-kerja pembaikan itu perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana itu adalah antara laluan utama.

Menurutnya, ia juga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku kepada para pengguna di laluan tersebut.

“Kerja pembaikan semula perlu dilaksanakan dengan kadar segera kerana jalan Ini merupakan laluan utama dan banyak kenderaan awam melalui jalan Ini. Kita tidak ingin berlaku kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh itu, hari ini.

Dr. Jaochim yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah turut diiringi kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu runtuhan membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.

Ia berikutan hujan yang berterusan sejak beberapa hari ini yang turut menyebabkan banjir dan kejadian tanah runtuh di daerah ini.

Bagaimanapun kejadian tanah runtuh itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

“Saya bersyukur kerana dalam kejadian tanah runtuh ini, tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Walau bagaimanapun, jalan raya masih boleh dilalui kenderaan,” kata Dr. Jaochim.

Beliau turut mengingatkan penduduk di Kundasang agar berhati-hati di musim hujan kerana kebarangkalian kejadian tanah runtuh berlaku adalah tinggi.

Beliau juga bersyukur kerana ketika ini Taman Negara Gunung Kinabalu ditutup bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sekali gus mengelakkan risiko kehilangan harta benda atau nyawa pengunjung.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *