Tanam kelapa, durian Musang King bantu penduduk miskin

KOTA MARUDU: Penanaman kelapa dan durian Musang King dicadang dijadikan sumber pendapatan untuk membantu golongan miskin dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata pendekatan itu boleh dilaksanakan kerajaan negeri di daerah yang dikenal pasti berdepan kadar kemiskinan tinggi, termasuk di Kota Marudu.

Katanya, tanaman pertanian yang mempunyai potensi pasaran baik boleh dikembangkan dalam kalangan penduduk miskin agar mereka mempunyai sumber pendapatan yang boleh mengeluarkan mereka daripada status miskin tegar dan miskin.

“Kita boleh menggalakkan aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa dan durian Musang King, iaitu antara tanaman mempunyai potensi pasaran yang besar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam menurunkan kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah, termasuk di daerah ini yang dikenal pasti antara daerah termiskin di seluruh negara.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata kerajaan negeri boleh mengambil inisiatif seumpama itu melalui pelaksanaan halatuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, di peringkat kerajaan Pusat, satu Unit Kemiskinan akan diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam masa terdekat bagi mencapai matlamat untuk menurunkan kadar kemiskinan tegar pada 2025.

“Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sedang mewujudkan Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk menyelaras perkara dasar berkaitan usaha mengurangkan kadar kemiskinan di peringkat nasional.

“Di pihak kita di Kota Marudu, kita sedia bekerja bersama unit khas itu untuk membasmi kemiskinan tegar dan miskin di daerah ini,” katanya.

Berdasarkan statistik pada 2020, Sabah dilapor mencatat 19.5 peratus kadar kemiskinan, berbanding 5.6 peratus di peringkat nasional.

Selain itu, lapan daripada 10 daerah termiskin di seluruh negara dilaporkan ada di Sabah iaitu Kota Marudu, Kudat, Pitas, Kota Belud, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *