Syarikat swasta disaran beri sumbangan kepada petugas barisan hadapan

KOTA BELUD: Semua syarikat swasta digalakkan untuk memberi sumbangan dalam berbagai bentuk kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus bekerja sejak pandemik COVID-19 melanda negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata usaha syarikat swasta dalam memberi pengiktirafan kepada barisan hadapan yang bertugas di fasiliti kesihatan sangat dihargai dan wajar dicontohi.

“Apabila lebih banyak syarikat swasta tampil memberi penghargaan sedemikian, maka ianya mampu membuka mata masyarakat di luar sana untuk turut sama menyumbang.

“Kita sangat berterima kasih kepada mereka yang terfikir untuk mengatur bantuan atau sumbangan kepada pasukan barisan hadalan dengan harapan lebih banyak pihak lain yang akan tampil dengan usaha yang sama seperti ini.

“Terima kasih juga kepada semua barisan hadapan tidak kira di hospital mahu pun klinik kerajaan dan swasta yang masih berjuang hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri program Majlis Penyampaian Bantuan Creamos Bun Kepada Frontliners di Klinik Desa Kampung Kelawat, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud, Doris William, Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Pegawai Perubatan Kota Belud, Nadirah Shahrom.

Sebanyak 1,200 biji roti ‘Creamos Bun’ telah disumbangkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas di Klinik Desa Kampung Kelawat.

Sumbangan yang diberikan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad itu disaksikan Jahid yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Dexter Lau, yang merupakan penyumbang bantuan itu berkata sumbangan terbabit turut menjadi peluang untuk pihaknya memperkenalkan produk roti mereka.

Projek terbabit dikendalikan Better Bets Project yang diketuai oleh Sylvia Pius Laban dan Sifera Kodoh.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *